JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Benar Muhyiddin Rujuk Persoalan Undang-undang Ke Mahkamah Persekutuan

28/08/2025 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati Muhyiddin selaku pemohon telah memenuhi semua ujian seperti yang dikehendaki undang-undang, yang dinyatakan dalam kes Wee Choo Keong v. Lee Chong Meng yang diputuskan mahkamah sebelum ini di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan di hadapan saya dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi kesan kepada penyelesaian perkara yang dipertikaikan dengan pantas.

"Persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk adalah sukar dan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penyelesaian," kata Muhammad Jamil sambil menambah bantahan pihak responden juga tidak mempunyai merit.

Hakim itu juga memerintahkan prosiding kes hasutan di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu permohonan berhubung persoalan undang-undang diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan yang dipertikai adalah sama ada Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama terjumlah kepada suatu sekatan yang tidak munasabah dan bercanggah Fasal 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada Seksyen 3(2) akta serupa yang dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah hak tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani manakala Muhyiddin diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.

Pada 4 Feb lEPAS, Muhyiddin, 78, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan