JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Menyamar Anggota Bomba Perdaya Orang Ramai - JBPM Selangor

28/08/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota bomba bagi memperdaya mangsa mendapatkan wang.

Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata lelaki berkenaan dikesan menghantar mesej kepada mangsa melalui aplikasi TikTok, mendakwa terdesak meminjam wang serta memperkenalkan dirinya sebagai anggota bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek mendakwa boleh ditemui di BBP Kapar dan beberapa individu telah menghubungi balai berkenaan untuk mencarinya selepas ditipu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Md Razali berkata suspek turut memperdayakan sebuah kedai makan yang sering dikunjungi anggota bomba di Kapar dengan menghubungi premis itu untuk meminjam wang serta memberikan kod respons pantas (QR) atas namanya.

“Selain itu, suspek juga didakwa menghubungi empat kedai makan lain bagi membuat tempahan makanan palsu dengan menyamar sebagai anggota BBP Kapar,” katanya.

Beliau berkata laporan polis berhubung kegiatan lelaki itu telah dibuat hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan