AM

Program Jualan Rahmah MADANI Di N. Sembilan Rekod Jualan Lebih RM60 Juta

26/08/2025 03:26 PM

SEREMBAN, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menjalankan sebanyak 867 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dengan hasil jualan sebanyak RM60.4 juta bagi tempoh sepanjang tahun ini.

Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata jumlah berkenaan meliputi 30 siri PJRM dengan lebih sejuta pengunjung membabitkan subsidi berjumlah RM16.13 juta.

“Sambutan orang ramai sangat menggalakkan kerana PJRM menawarkan pelbagai barangan keperluan asas yang berkualiti pada harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding di pasaran.

“Kalau kita lihat PJRM sentiasa ditunggu-tunggu dan rata-rata pengunjung mahukan program ini dijalankan secara berterusan kerana mereka dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan dan program ini memang diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata program berkenaan mendapat sambutan baik daripada semua pihak termasuk pemain industri sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Sementara itu, Muhammad Zahir berkata hampir RM400,000 nilai jualan direkodkan menerusi PJRM pada Program MADANI Rakyat di Dataran Nilai bagi tempoh tiga hari hingga 24 Ogos lepas, membabitkan 56 jenis barangan keperluan asas yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Beliau berkata sekiranya berlaku terputus bekalan barang kawalan di mana-mana kawasan, orang ramai boleh membuat aduan termasuk menerusi WhatsApp di talian 019-8488000 atau di portal rasmi KPDN https://eaduan.kpdn.gov.my/ untuk tindakan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan