Oleh Zaphne Philip
KOTA SAMARAHAN, 27 Ogos (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperkenalkan oleh kerajaan MADANI kini menjadi sinar harapan baharu bagi penduduk Kampung Nangka, di sini, terutama mereka yang bergantung kepada pendapatan rendah untuk menampung kos sara hidup semasa.
Terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuching, kampung yang dihuni oleh 112 keluarga itu menyambut baik inisiatif berkenaan, yang memberikan kelegaan besar dalam perbelanjaan harian, khususnya bagi barangan keperluan asas.
Ketua Kampung Nangka, Minggu Julang, 72, berkata bantuan itu sangat membantu, namun berharap pelaksanaannya dapat dipertingkatkan dan disesuaikan dengan keperluan komuniti luar bandar.
“Ramai keluarga di sini berpendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,100 sebulan. Apabila bantuan SARA masuk, ia dapat menampung perbelanjaan barang dapur.
“Namun, kami berharap jenis barangan yang boleh dibeli diperluaskan dan akses diberikan ke kedai-kedai kecil di kampung supaya tiada penerima yang tertinggal,” katanya kepada Bernama.
Minggu juga mencadangkan penambahbaikan sistem MyKasih, terutamanya dari segi notifikasi pemberitahuan agar penerima lebih mudah mengetahui bila bantuan telah dikreditkan.
Kampung Nangka, yang diasaskan pada 1907 oleh tiga keluarga, kini berkembang menjadi komuniti seramai 517 penduduk, majoritinya masyarakat Iban, diikuti Bidayuh, Cina, dan Melayu. Penduduk hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
Penduduk, Chundi Rini, 65, berkata walaupun tidak mahir teknologi, proses pembelian menggunakan SARA mudah dengan bantuan anak.
“Saya cuma guna kad pengenalan saja. Anak yang ajar, dan memang memudahkan bila membeli barang dapur; tidak perlu pegang tunai pun,” katanya.
Bagi Chia Chay Khoo, 72, bantuan itu dianggap ‘rezeki tidak disangka’ kerana ia merupakan bantuan pertama diterimanya sepanjang hidup.
“Bantuan ini bukan sekadar jumlah dalam akaun, tetapi lambang keprihatinan kerajaan yang benar-benar dirasai penerima,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wilfred Jeny Briak, 66, menyatakan rasa syukur menerima bantuan buat kali pertama dan mencadangkan agar jumlah bantuan ditingkatkan.
“Anak saya tunjuk cara guna telefon bimbit untuk menyemak barang yang boleh dibeli menggunakan bantuan SARA. Memang sangat membantu; kalau boleh, tambahlah jumlah bantuan juga,” katanya.
SARA merupakan program bantuan tunai bersasar kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, termasuk 700,000 penerima eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Melalui Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, dengan bantuan tahunan SARA dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lepas.
Seiring dengan kerangka Ekonomi MADANI, inisiatif ini menekankan pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah melalui peluang yang adil, taraf hidup lebih baik, serta perlindungan sosial menyeluruh.
Sebagai penghargaan sempena Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, disalurkan terus ke MyKad di bawah SARA, memanfaatkan 22 juta rakyat.
Pemberian tambahan ini melibatkan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan STR dan SARA RM15 bilion tahun ini — tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara — dan boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember di lebih 4,500 kedai dan pasar raya seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial