AM

Produk Keropok Ikan Guna Logo Halal Tidak Sah Disita

26/08/2025 12:25 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 880 kotak produk keropok ikan bernilai RM40,299 yang menggunakan logo halal tidak sah dalam serbuan di sebuah kilang memproses makanan di Hutan Melintang, dekat Teluk Intan pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail, berkata serbuan kira-kira 11.30 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan menemui sejumlah produk keropok ikan yang ditandakan dengan logo halal palsu.

"Pemeriksaan mendapati pemilik kilang gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurutnya, kes disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperaku makanan sebagai halal tanpa kebenaran sah.

Beliau berkata pihaknya turut menemui 1,750 liter minyak diesel dan 136 kilogram minyak masak peket tanpa permit, dengan nilai rampasan RM5,065, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM45,364.

“Pemilik juga gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran atau lesen untuk menyimpan barang kawalan diesel dan minyak masak daripada Pengawal Bekalan.

“Kita telah membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan