Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa selepas mengambil petunjuk daripada penurunan Wall Street.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.55 mata kepada 1,600.90 daripada 1,602.45 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.45 mata kepada 1,602.90.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 193 berbanding 159, dengan 269 kaunter tidak berubah, 2,007 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 170.41 juta unit bernilai RM83.21 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, Wall Street ditutup lebih rendah kerana pelabur bersikap berhati-hati selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell berkata penurunan kadar faedah pada September masih belum dimuktamadkan.
"Dow Jones susut 0.8 peratus kepada 45,282.47, S\&P 500 jatuh 0.4 peratus dan Nasdaq susut 0.22 peratus," katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup tinggi pada hari Isnin, melepasi paras psikologi 1,600.
"Kami percaya paras melebihi 1,600 boleh memberikan momentum untuk menguji paras 1,650 dalam tempoh terdekat. Untuk hari ini, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,600 hingga 1,620," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM9.87, Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.49, CIMB merosot 5.0 sen kepada RM7.45, Tenaga Nasional susut 6.0 sen kepada RM13.66, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.79.
Bagi saham aktif, Magma Group naik 2.5 sen kepada 24 sen dan Avillion Bhd meningkat 0.5 sen kepada 7.5 sen. Velesto Energy, NEXG Bhd dan Mestron Holdings berkurangan 0.5 sen masing-masing kepada 19.5 sen, 48.5 sen dan 24 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 11.00 mata kepada 11,859.06, Indeks FBMT 100 turun 11.67 mata kepada 11,637.12, Indeks FBM Emas Shariah merosot 4.87 mata kepada 11,795.88, Indeks FBM 70 berkurangan 18.47 mata kepada 16,598.01 dan Indeks FBM ACE susut 20.00 mata kepada 4,740.47.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 14.61 mata kepada 18,290.68, Indeks Tenaga berkurangan 0.56 kepada 745.20, Indeks Perladangan menguncup 9.51 mata kepada 7,648.61, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan tidak berubah pada 164.09.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial