EKONOMI

Unit Citaglobal Peroleh Kontrak Naik Taraf Jalan FT3 Bernilai RM169 Juta

21/08/2025 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Citaglobal Bhd, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB) meraih kontrak bernilai RM168.88 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menaik taraf Jalan Persekutuan 3 (FT3) sepanjang 7.25 kilometer (KM) daripada laluan sehala kepada laluan dua hala. 

Kumpulan itu berkata kerja-kerja di bawah kontrak itu termasuk, tidak terhad kepada, menaik taraf jalan raya sedia ada, termasuk enam jambatan dan lima simpang, kerja-kerja tanah, kerja-kerja geoteknikal, sistem saliran, turapan jalan, kelengkapan jalan, pengurusan trafik, pencahayaan jalan, lampu isyarat serta kerja-kerja lain yang berkaitan.

"Kontrak ini akan disiapkan dalam tempoh 42 bulan daripada tarikh pengambilan tapak," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata JKR telah mengeluarkan tender bagi projek naik taraf ini pada Disember 2024 dan CLSB telah menyerahkan bidaan pada Februari 2025.

“Kontrak ini akan menambah dan mengukuhkan lagi nilai perolehan sedia ada Citaglobal dan anak-anak syarikatnya kepada kira-kira RM1.3 bilion,” katanya.

Kontrak berkenaan katanya, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

Naik taraf jalan FT3 ini merupakan kesinambungan kepada kerja-kerja menaik taraf jalan dari Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu daripada dua lorong laluan satu hala (piawaian JKR R3) kepada empat lorong dua hala (piawaian JKR R5).

Untuk makluman, Jalan Persekutuan FT3 merupakan jalan utama di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia, merentasi 739 km dari Rantau Panjang (berhampiran sempadan Thailand) di Kelantan ke Johor Bahru di Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan