IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan menawarkan insentif kepada pemaju perumahan yang melaksanakan polisi ‘bina dan jual’ bagi menjayakan sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pelaksanaan insentif berkenaan yang akan diumumkan perinciannya termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mana-mana pemaju yang berjaya bina dan jual, mereka akan ditawarkan insentif yang bakal diumumkan kerajaan.
“Dasar baru ini akan saya umumkan selepas Belanjawan 2026, kita sudah kenal pasti beberapa rangka proaktif yang boleh mencegah berlakunya projek-projek perumahan yang terbengkalai,” katanya kepada pemberita selepas majlis REHDA Fellowship Dinner 2025 di sini malam tadi.
Turut hadir Presiden REHDA Malaysia Datuk Ho Hon Sang dan Pengerusi REHDA Perak Loh Ban Ho.
Sementara itu Nga ketika berucap pada majlis itu berkata kementerian akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar bagi bacaan kedua dan ketiga di Parlimen, sambil menekankan kepentingannya terhadap kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata RUU itu, satu keperluan nasional untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan meremajakan landskap bandar yang usang di Malaysia, bagi memastikan tiada sesiapa atau rumah yang tidak selamat terbiar.
“Pembaharuan bandar bukan soal keselesaan, ia keperluan nasional untuk mempromosi kesejahteraan rakyat dan pembandaran mampan. Kita tidak boleh membiarkan pusat bandar kita terus merosot sedangkan ribuan keluarga masih tinggal di rumah yang tidak selamat, uzur dan semakin rosak.
“Undang-undang ini bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang lebih baik untuk rakyat, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan dan kekayaan untuk rakyat. Projek-projek yang telah melalui pembaharuan bandar seperti Razak Mansion dan Residensi Kerinchi, telah meningkat nilai dan yang paling penting, memperbaiki keadaan hidup penduduknya,” katanya.
Nga berkata RUU itu disokong oleh jawatankuasa pengantaraan yang kukuh pada peringkat persekutuan dan negeri, bagi memastikan hasil yang adil dan kerajaan akan terus menyelia proses pembaharuan bandar demi mencapai situasi menang-menang untuk semua pihak yang terlibat.
Setakat ini, kami telah mengadakan lebih daripada 105 sesi libat urus melibatkan pihak berkepentingan di peringkat persekutuan, negeri, akademik, industri dan juga persatuan penduduk,” katanya.
Nga turut meminta Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong RUU tersebut dalam bacaan akan datang, sambil menekankan bahawa kepimpinan memerlukan keputusan berani demi mengutamakan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial