TAWAU, 23 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu memastikan pembangunan teknologi bukan sahaja berorientasikan pasaran, tetapi turut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menterinya Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata hasrat itu diterjemahkan melalui pelaksanaan Program Jejak Inovasi Sosial yang digerakkan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berasaskan empat fasa utama.
"Pertama, mengenal pasti isu dan keperluan komuniti setempat berlandaskan prinsip local issue, local technology, local benefit. Kedua, membangunkan inovasi sosial melalui platform seperti MaGRIs termasuk Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) Akar Umbi.
"Ketiga, memperluas akses pengetahuan kepada masyarakat antaranya melalui Konvensyen Inovasi Sosial, dan keempat memastikan produk inovasi sosial yang berjaya dapat diperluaskan ke komuniti lain menerusi MyIS agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah di Merotai dekat sini, hari ini.
Selain itu katanya, MOSTI dan YIM turut melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk penyediaan pembiayaan penyelidikan serta peluasan jaringan bagi memperkukuh ekosistem inovasi sosial.
Sementara itu Mohammad Yusof berkata program berkenaan merupakan satu daripada usaha kerajaan membantu penduduk Merotai dan Kalabakan menambah baik produk tempatan yang diusahakan masyarakat setempat.
"Kita akan melihat aspek mana MOSTI dan YIM boleh membantu, khususnya dari segi pengurusan produk yang lebih baik atau memperkenalkan inovasi baharu untuk meningkatkan hasil serta kualiti.
"Jika ada keperluan, kita akan cuba bantu menerusi perbincangan bersama pakar atau dirujuk kepada kementerian berkaitan," katanya.
Program Jejak Inovasi Sosial hari ini turut merangkumi lawatan ke tapak ternakan burung walit, kilang keropok amplang, sistem irigasi IoT tanaman halia serta sistem janakuasa air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial