AM

577 Usahawan India Terima Manfaat BRIEF-i - Ramanan

23/08/2025 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Penambahan dana sebanyak RM50 juta bagi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneurship Financing-i (BRIEF-i) telah berjaya memberikan impak signifikan kepada komuniti usahawan India, dengan sejumlah 577 penerima manfaat setakat ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah itu, seramai 482 penerima terdiri daripada usahawan mikro manakala 95 lagi melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Walaupun BRIEF-i merupakan program pembiayaan, ia memainkan peranan penting dalam membantu usahawan India mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat Program BRIEF-i di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Ramanan menyerahkan cek cura berjumlah RM3.275 juta kepada 18 usahawan melalui agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) termasuk Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN dan SME Corp.

Beliau berkata selain BRIEF-i, tiga lagi program disediakan untuk masyarakat India iaitu Program Pemerkasaan Wanita India atau dikenali sebagai PENN (Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women), Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India (IBAP) dan Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big.

Ramanan berkata kesemua program telah berjaya memanfaatkan lebih 11,300 penerima setakat ini.

Beliau berkata pelbagai geran turut ditawarkan melalui agensi berkaitan di bawah KUSKOP seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang menyediakan geran khusus manakala SME Corp menawarkan geran melalui program I-BAP. 

Sebagai langkah tambahan, satu entiti khas telah diwujudkan di Bank Rakyat untuk memudahkan usahawan India mendapatkan sijil halal dengan lebih pantas dan efisien.

Mengenai tanggungjawab baharu memantau projek berkaitan kuil dan sekolah Tamil, Ramanan berkata beliau akan memastikan pelaksanaan empat inisiatif utama berjalan lancar melibatkan projek Perkampungan India, Makmal Teknologi Komunikasi dan Maklumat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Dharma MADANI untuk kuil serta bantuan sekali beri kepada pekerja ladang.

"Saya akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pada Selasa ini untuk memastikan bantuan segera disalurkan kepada golongan B40 dan rumah ibadat," katanya.

Bagi projek sekolah Tamil, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan RM30 juta untuk menaik taraf lima sekolah dan perbincangan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadualkan pada Ahad ini sebelum pelaksanaan dimuktamadkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan