BANDAR BAHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 85 kes kehadiran penguat kuasa asing di perairan negara direkodkan bagi tempoh antara 2021 hingga Julai tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita juga mengesan kehadiran penguat kuasa asing, laut kita tapi agensi penguatkuasaan daripada negara lain, negara jiran, juga masuk ke kawasan kita.
“APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) uruskan dengan minta mereka tidak berada dalam perairan kita,” katanya ketika ditemui pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata sebanyak lima kes rompakan bersenjata serta 274 kes berkaitan penyeludupan pendatang asing tanpa izin turut direkodkan bagi tempoh sama di perairan negara.
Menurutnya hasil usaha operasi yang berterusan serta keberadaan aset laut dan udara di perairan negara berjaya mengawal elemen ancaman keselamatan terhadap negara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kementeriannya kini pada peringkat akhir persiapan untuk mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN di Melaka pada 8 hingga 12 Sept ini.
Beliau berkata sebagai tuan rumah, pihaknya akan mengambil peluang pada mesyuarat itu untuk mengetengahkan isu keselamatan dengan menghasilkan beberapa langkah (deliverables) komitmen serantau.
“Tumpuan kepada tiga perkara, pertama dari segi pembinaan kapasiti, kedua perisikan dan ketiga operasi bersama…adalah prasyarat kepada kejayaan untuk jenayah rentas sempadan ini dapat diatasi bukan sahaja pada peringkat Malaysia tetapi juga peringkat ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial