AM

Negeri Sembilan Komited Ke Arah Penguasaan AI, Transformasi Digital

23/08/2025 04:09 PM

NILAI, 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk menerima anjakan paradigma dalam bidang teknologi digital dengan mempergiatkan usaha memperkasakan penjawat awam melalui penguasaan pengetahuan kecerdasan buatan (AI), sebagai langkah proaktif ke arah transformasi digital yang menyeluruh.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata usaha ini selari dengan matlamat Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 untuk melahirkan masyarakat celik digital demi meningkatkan daya saing negeri dalam era teknologi.

"Perkara ini juga turut diperluas ke dalam perancangan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuklah Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang berhasrat menjadikan Seremban sebagai Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon menjelang 2027.

"Usaha MBS ini selaras dengan Agenda Pembangunan Negara yang mendukung Agenda Pembangunan Mampan sekali gus menjamin kemampanan kualiti hidup masyarakat negeri ini," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut dihadiri Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Aminuddin berkata dalam usaha ke arah pembangunan digital, negeri ini adalah yang pertama memiliki pelabuhan kontena pintar dan hab halal pertama berteknologi tinggi bercirikan AI.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan kedatangan 20 juta pelancong pada tahun ini bersempena dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan dan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan memberikan penekanan kepada tiga produk pelancongan utama, iaitu pantai peranginan di Port Dickson, ekopelancongan dan keunikan budaya adat perpatih di negeri ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan