AM

Dulu Perlu Ke Bandar, Kini Kaunter Kerajaan Dibuka Di Pedalaman

21/08/2025 09:24 PM

GUA MUSANG, 21 Ogos (Bernama) -- Jika sebelum ini masyarakat Orang Asli di pedalaman terpaksa meredah perjalanan berjam-jam ke bandar untuk berurusan dengan agensi kerajaan, kini segalanya lebih mudah apabila kaunter perkhidmatan kerajaan dibuka di kampung mereka.

Menerusi program Kembara Merdeka Be Ades Ma Kampung, lebih 1,000 penduduk di Pos Hau, Pos Belatim dan Pos Balar mendapat manfaat apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turun padang menyantuni komuniti berkenaan.

Penduduk Orang Asli suku Temiar, Anjang Ayeh, 50, berkata pembukaan kaunter berkenaan amat membantu memudahkan pelbagai urusan yang sebelum ini memerlukan mereka ke bandar.

Dia bersyukur apabila anaknya, Rosmawati Anjang, 29, dapat menjalani pemeriksaan kesihatan apabila KKM membuka  kaunter di Kampung Redip, Pos Hau.

“Hasil pemeriksaan itu, Rosmawati disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran sekali gus melayakkannya menerima bantuan bulanan JKM,” katanya kepada pemberita pada Program Kembara Merdeka Be Ades Ma di sini hari ini. 

Anjang berkata dia sudah lama menantikan peluang untuk mengesahkan keadaan anaknya, namun berdepan masalah pengangkutan kerana tinggal di pedalaman.

“Anak saya mempunyai fizikal normal tetapi berkelakuan seperti kanak-kanak. Dia hanya berkawan dengan rakan berusia tujuh hingga 10 tahun dan tidak pandai bergaul dengan orang dewasa. Pertuturannya juga sukar difahami,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Angah Asang, 48, turut berpeluang membawa ibunya yang uzur menukar kad pengenalan baharu di kaunter JPN. 

“Sebelum ini, saya sukar untuk membawa ibu ke bandar kerana keadaannya tidak mengizinkan, tetapi hari ini urusan pertukaran kad pengenalan dapat dilakukan dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli, Jumaat Arom berkata pihaknya amat menghargai keprihatinan kerajaan yang menyedari kesukaran rakyat pedalaman untuk berurusan di bandar.

“Dengan adanya perkhidmatan terus ke kampung ini, banyak masalah kami dapat diselesaikan segera, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli sentiasa terjaga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan