EKONOMI

EPB Group Umum Kerjasama Dengan Shenzhen Honglin, Nidec

21/08/2025 09:19 PM

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- EPB Group Bhd (EPB), penyedia penyelesaian mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan sehenti, telah mengumumkan perkongsiannya dengan Shenzhen Honglin Machinery Equipment Co Ltd (Shenzhen Honglin) bagi memacu automasi dan pengembangan pasaran di seluruh Asia Tenggara. 

Dalam satu kenyataan hari ini, EPB berkata perkongsian itu akan membentuk satu entiti baharu, iaitu AI Medic Device Equipment Supplies Sdn Bhd, dengan EPB memegang 80 peratus kepentingan ekuiti manakala pemegang saham utama dan pengarah Shenzhen Honglin Fan Yanlin memegang baki 20 peratus. 

“Shenzhen Honglin merupakan inovator yang diiktiraf dalam robotik, perisian semikonduktor, dan teknologi pembuatan automatik, dan perkongsian ini akan berfungsi sebagai platform strategik bagi penyetempatan penyelesaian peralatan berteknologi tinggi, mengembangkan keupayaan automasi EPB, dan mempelbagaikan penawaran jenteranya yang disesuaikan dengan industri pemprosesan jentera makanan. 

“Ini termasuk penyepaduan sistem robotik dan kecerdasan buatan (AI) yang didayakan bagi meningkatkan kecekapan, kebersihan, dan ketepatan pengeluaran - permintaan teras bagi pengeluar serantau yang ingin memodenkan operasi,” katanya. 

EPB turut mengumumkan kerjasama teknologi berfokuskan kemampanan dengan Nidec Corporation (Nidec), iaitu peneraju global dalam teknologi pemacu dan motor, yang akan menumpukan kepada penyepaduan pemacu frekuensi boleh ubah (VFD) ke dalam penawaran jentera utama EPB. 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen meluas EPB terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta kemampanan transformasi. 

Katanya, penggunaan VFD itu dijangka meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kehausan mesin, dan menurunkan kos operasi pelanggan, sambil memanjangkan hayat mesin.

Pengarah Urusan EPB Yeoh Chee Min berkata kedua-dua pencapaian strategik itu mencerminkan visi jangka panjang kumpulan untuk menerapkan kemampanan dan inovasi merentas semua peringkat operasinya. 

“Perkongsian dengan Shenzhen Honglin meletakkan kami di barisan hadapan dalam robotik dan automasi di rantau ini, manakala perkongsian dengan Nidec mengukuhkan kecekapan tenaga jentera kami dan meningkatkan kelayakan ESG kami.

“Sementara itu, dengan rangkaian global Nidec, kami memastikan perkhidmatan dan penyelenggaraan yang lebih pantas dan boleh dipercayai, memberikan pelanggan kami nilai tambah iaitu ketenangan fikiran dan prestasi tanpa gangguan menerusi ejen tempatan mereka,” tambahnya. 

Ketika ini, EPB sedang melaksanakan pengembangan utama dalam pengeluarannya di Pulau Pinang, apabila ia memperoleh 3.173 hektar bersebelahan kemudahan semasanya, dengan rancangan untuk membina sebuah kilang, ruang pameran dan pejabat korporat baharu. 

Katanya, kemudahan bersepadu baharu itu juga akan menempatkan bahagian pembuatan, penyelidikan dan pembangunan termaju perkongsian itu, menyokong portfolio automasi EPB yang semakin berkembang dan berskala besar, serta menyampaikan projek bernilai tinggi di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan