AM

Program Kapasiti, Bimbingan Dan Pendigitalan Penjaja, Peniaga Kecil Masih Diteruskan - Ramanan

20/08/2025 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Program peningkatan kapasiti, bimbingan dan pendigitalan perniagaan untuk komuniti penjaja dan peniaga kecil masih dilaksanakan melalui siri bimbingan keusahawanan, seperti seminar pembudayaan dan pemerkasaan keusahawanan penjaja dan peniaga kecil (Empower PPK).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata melalui program Empower PPK itu, kementerian telah memberikan latihan kepada 618 penjaja dan peniaga kecil pada tahun lepas.

Beliau berkata untuk tahun ini hingga Jun lepas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui kerjasama agensi dan rakan strategik telah menganjurkan program Empower PPK di Sabah dan Putrajaya, yang memberikan manfaat kepada 210 penjaja dan peniaga kecil.

“Secara keseluruhan, peruntukan program Empower PPK bagi 2024 dan 2025 sebanyak RM60,000.

“Walaupun peruntukannya agak kurang atau kecil tapi kita ada banyak kolaborasi bersama dengan agensi lain, seperti TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga) Nasional, Bank Rakyat, SME Corp dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta kementerian menyatakan sama ada program itu masih dilaksanakan serta jumlah dan agihan peruntukan yang diberikan kepada mereka terlibat.

Ramanan mengambil contoh kerjasama dengan INSKEN, yang membolehkan penjaja dan peniaga kecil meningkatkan kapasiti dan pendigitalan perniagaan mereka melalui inisiatif seperti Program Bimbingan Pembangunan Produk (PDC) dan Program Bimbingan Pengurusan Wang (MAC).

“Pada tahun ini, sebanyak 288 peserta telah mendapat manfaat daripada program, dengan peruntukan berjumlah RM565,996,” katanya sambil menambah keseluruhan program bimbingan INSKEN telah memberi manfaat kepada 1,256 usahawan dengan peruntukan RM4.089 juta.

Beliau berkata Bank Rakyat juga menyediakan pembiayaan kepada 827 penjaja dan peniaga kecil melibatkan peruntukan berjumlah RM5.6 juta hingga Julai tahun ini, manakala  TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan RM3.506 juta untuk Skim Pembiayaan Online kepada 390 peniaga kecil dan peniaga informal.

Menjawab soalan tambahan Muslimin yang ingin tahu sama ada KUSKOP memberi perhatian serius untuk meningkatkan peruntukan program pendigitalan, khususnya kepada usahawan B40 melalui Belanjawan 2026, Ramanan berkata kementerian sememangnya sudah memohon peruntukan tambahan.

“Kementerian juga telah mohon peruntukan tambahan bagi pembinaan kapasiti bagi penjaja dan peniga kecil. Selain itu, kajian keberkesanan dan berimpak tinggi sedang dikendalikan melalui INSKEN bagi memberikan latihan kemahiran dan keupayaan secara berterusan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan