DUNIA

Presiden Korea Selatan Teruskan Rancangan Pelucutan Senjata Nuklear Tiga Peringkat Korea Utara

21/08/2025 05:31 PM

SEOUL, 21 Ogos (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung berkata beliau akan meneruskan pelan pelucutan senjata nuklear tiga peringkat terhadap Korea Utara, dengan Seoul mendekati strategi itu melalui dialog aktif bersama Pyongyang berasaskan pakatan kukuh dengan Amerika Syarikat (AS).

Dalam temu bual bersama akhbar Jepun 'Yomiuri Shimbun' menjelang lawatannya ke Tokyo bagi menghadiri sidang kemuncak dengan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, Lee berkata peringkat pertama bertujuan membekukan program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Peringkat kedua dan terakhir pula memberi tumpuan kepada pengurangan serta penguraian program nuklear berkenaan, menurut transkrip temu bual yang dikeluarkan pejabat presiden.

Lee menegaskan Korea Selatan, sambil mengekalkan penyelarasan rapat dengan AS akan secara aktif menggerakkan dialog antara-Korea bagi mencapai matlamat itu.

Ini merupakan kali pertama Lee, yang mula memegang jawatan pada Jun lalu, mengumumkan pelan tiga peringkat untuk meyakinkan Korea Utara agar menghapuskan senjata nuklearnya.

Bagaimanapun, dalam beberapa hari kebelakangan ini, Korea Utara menolak usaha perdamaian Lee dengan alasan Seoul tidak boleh menjadi rakan diplomatik.

Selepas sidang kemuncak dengan Ishiba, Lee dijadual berkunjung ke Washington untuk menghadiri sidang kemuncak pertamanya dengan Presiden AS Donald Trump pada 25 Ogos.

Dalam temu bual itu, Lee turut mencadangkan pembangunan laluan perkapalan Artik sebagai bidang kerjasama berpotensi antara kedua-dua Korea, AS, Jepun dan Rusia.

Mengenai permintaan Tokyo untuk menarik balik sekatan import makanan laut dari lapan wilayah Jepun, Lee berkata beliau mengambil pendekatan berhati-hati kerana masih wujud kebimbangan keselamatan dalam kalangan rakyat Korea Selatan.

Berhubung China, Lee menyifatkannya sebagai “negara jiran rapat yang tidak dapat dipisahkan dari segi geografi dan ekonomi,” sambil menambah bahawa Seoul berhasrat untuk bekerjasama jika boleh dan bersaing jika perlu, berdasarkan pertimbangan menyeluruh antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan