Oleh AHMAD SYABIL SULTAN NOORDIN AHMAD
SEREMBAN, 21 Ogos (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menerima sebanyak 60 daripada keseluruhan 136 kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV 4x4) Tarantula bermula pada 2027, menurut Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef).
Pengarah Urusan Mildef Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata penghantaran itu, akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi beberapa fasa selama tempoh lima tahun.
“Kita menyasarkan penghantaran pertama pada 2027, dengan tahun pertama dikhususkan untuk menyiapkan Final User Vehicle (FUV) atau Seal Pattern sebagai model rujukan sebelum pengeluaran penuh dimulakan.
“Kami menyasarkan penghantaran awal ini melibatkan sekitar 30 unit pada awal tahun 2027, manakala 30 unit lagi pada hujung tahun sama sebagai fasa pertama penghantaran,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Ibu Pejabat Mildef di sini hari ini.
Mohd Nizam menegaskan proses itu penting untuk memastikan reka bentuk, keupayaan dan perlindungan balistik Tarantula menepati keperluan operasi Tentera Darat.
Tarantula HMAV 4x4 merupakan kenderaan perisai buatan tempatan yang dibangunkan Mildef dan direka bagi memenuhi keperluan operasi darat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM.
Kementerian Pertahanan sebelum ini telah menandatangani surat hasrat (LOI) bernilai RM1.8 bilion kepada Mildef, bagi perolehan 136 unit Tarantula yang bakal menjadi aset terbaru Tentera Darat Malaysia.
Sementara itu, Mohd Nizam mendedahkan Mildef merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang sedang berusaha untuk memenangi tender daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), bagi perolehan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) pertama negara, Ribat.
“Keputusan untuk penganugerahan perolehan kenderaan perisai itu dijangka akan diumumkan sebelum Oktober ini. UN memerlukan sebanyak 50 unit kenderaan HMLTV dan kapasiti pengeluaran kilang Mildef berupaya menghasilkan sebanyak 60 unit dalam setahun,” katanya.
Mohd Nizam berkata Ribat merupakan kereta perisai yang melambangkan kegigihan syarikat tempatan dalam mencipta aset pertahanan, yang selama ini dianggap hanya mampu dibangunkan oleh negara maju.
“Ribat itu sendiri membawa maksud semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman dan diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Perdana Menteri dijadual merasmikan fasiliti pengeluaran baru Mildef iaitu kilang pembuatan kereta perisai nasional di Sendayan, Negeri Sembilan, Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial