DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Kekalkan Trend Meningkat

21/08/2025 07:18 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkat untuk ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, dalam keadaan sentimen bercampur-campur di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.66 mata atau 0.29 peratus untuk ditutup pada 1,592.87 daripada 1,588.21 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.71 mata lebih kukuh pada 1,591.92, dan bergerak antara 1,589.88 dan 1,596.02 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, di pasaran lebih menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 522 berbanding 513 manakala 491 kaunter tidak berubah, 1,068 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.67 bilion unit bernilai RM2.87 bilion berbanding 2.55 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama Asia turut ditutup lebih tinggi walaupun terdapat petunjuk negatif yang meluas daripada Wall Street dalam tempoh semalaman, yang menyaksikan penjualan yang tinggi dalam saham-saham teknologi.

“Di pasaran tempatan, indeks petunjuk pasaran terus menunjukkan momentum yamg memberangsangkan, mencerminkan sentimen yang lebih baik dan keyakinan baharu pelabur.

“Keyakinan semakin meningkat apabila indeks menghampiri paras psikologi utama 1,600, yang membuka peluang kepada kenaikan selanjutnya.

“Secara keseluruhan, prospek pasaran kekal membina, dengan peluang kepada pertumbuhan berikutan keyakinan meningkat di seluruh pasaran serantau. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,600 pada akhir minggu ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut 2.0 sen kepada RM9.78 dan RM13.64, Public Bank rendah 1.0 sen kepada RM4.45, IHH Healthcare berkurangan 7.0 sen kepada RM6.81 manakala CIMB melonjak 9.0 sen kepada RM7.45.

Dalam kaunter paling aktif, Tanco menambah 1.0 sen kepada 74 sen, Petronas Chemicals melonjak 58 sen kepada RM4.76, NexG naik 6.0 sen kepada 45 sen, dan Lotte Chemical meningkat 2.5 sen kepada 59 sen.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 18.08 mata kepada 11,800.91, Indeks FBMT 100 menokok 14.13 mata kepada 11,582.43, Indeks FBM Emas Shariah menambah 18.59 mata kepada 11,717.93, Indeks FBM 70 rendah 67.24 mata kepada 16,536.22, dan Indeks FBM ACE menambah 12.41 mata kepada 4,708.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 19.01 mata kepada 18,184.15, Indeks Perladangan naik 13.92 mata kepada 7,606.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.94 mata kepada 163.67, dan Indeks Tenaga naik 1.44 mata kepada 750.73.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.55 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 1.46 bilion unit semalam bernilai RM2.28 bilion.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 688.24 juta unit bernilai RM86.01 juta daripada 780.41 juta unit bernilai RM93.66 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 424.96 juta unit bernilai RM132.02 juta daripada 310.20 juta unit bernilai RM124.67 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 233.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama;  produk dan perkhidmatan perindustrian (341.51 juta), pembinaan (94.93 juta), teknologi (163.45 juta), perkhidmatan kewangan (114.04 juta), hartanah (151.83 juta), perladangan (26.31 juta), REIT (38.80 juta), dana tertutup (9,300), tenaga (130.79 juta), penjagaan kesihatan (97.46 juta), telekomunikasi dan media (94.90 juta), pengangkutan dan logistik (37.35 juta), utiliti (33.75 juta), dan amanah perniagaan (9,200).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan