PADANG BESAR, 16 Ogos (Bernama) -- Program ‘Perlis Connect’ anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang sedang berlangsung di Padang Besar Street di sini hari ini menawarkan pelbagai pengisian menarik dan informatif, termasuk penggunaan Internet secara selamat.
Penganjuran program sehari dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu, antara lain untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perayauan supaya tidak dikenakan caj tambahan semasa berada di kawasan sempadan serta memperhebatkan antibuli dalam kalangan pelajar.
Selain itu, Perlis Connect juga menyediakan platform kepada usahawan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perlis memasarkan produk yang mereka hasilkan melalui platform yang disediakan Bernama.
Pertubuhan berita itu turut membawa studio bergerak atau ‘motorhome’ yang menjadi antara tarikan penganjung sekali gus memberikan peluang kepada mereka yang mengunjungi program berkenaan memperoleh pendedahan mengenai skop kerja dalam bidang kewartawanan dan penyiaran.
Di reruai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula pengunjung boleh membuat semakan saman serta mendapat tawaran diskaun 50 peratus bagi bayaran saman PDRM, manakala reruai agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen pelbagai maklumat, khususnya mengenai perkhidmatan yang disediakan dikongsi bersama pengunjung.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijadual berkenan berangkat merasmikan program itu pada petang ini.
Antara yang akan turut hadir pada majlis perasmian itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Suruhanjaya MCMC Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial