SEREMBAN, 16 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan semua kerusi dimenanginya serta mengambil semula kerusi tradisi yang sebelum ini diserahkan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lepas.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN dan Pakatan Harapan (PH) secara prinsipnya telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
"Kita tetap dengan ketegasan untuk bertanding di kerusi yang kita menang, dan juga kerusi-kerusi tradisi sebelum ini yang kita serahkan kepada Bersatu.
"Dulu semasa PRN Sabah, banyak kerusi tradisi BN diserahkan kepada Bersatu atas semangat kerjasama. Tapi akhirnya kita ditikam dari belakang. Kita tidak mahu perkara seperti itu berulang lagi," katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov ini sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, seterusnya memberi laluan kepada PRN ke-17.
Mengenai ketegangan antara Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dan Sayap Pemuda DAP (DAPSY) berhubung isu Jalur Gemilang terbalik, Mohamad menyeru semua pihak bertenang dan mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian negara.
Beliau berkata semua pihak perlu berbincang bagi mencari penyelesaian demi keharmonian memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum, agama dan bahasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial