SUKAN

Sheikh Farouk Dilantik KPE TFCSB Baharu

16/08/2025 04:10 PM

KUALA NERUS, 16 Ogos (Bernama) -- Bekas Pengarah Urusan AEON Big Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) baharu Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) berkuat kuasa hari ini.

TFCSB memaklumkan pelantikan berkenaan telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah TFCSB pada 27 Julai lepas.

Menurut kenyataan itu, Sheikh Farouk yang berkelulusan Sarjana Sains daripada Arizona State University, Amerika Syarikat pernah menyandang jawatan Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan memiliki pengalaman bekerja selama 18 tahun dengan syarikat makanan antarabangsa, Nestle.

"Dalam bidang sukan pula Sheikh Farouk dilantik sebagai Pengerusi Impact Integrated, sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memfokus kepada pembangunan belia dan e-sukan.

"Selain itu, beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," menurut TFCSB dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Sheikh Farouk diharap dapat membawa TFCSB ke peringkat lebih tinggi dan cemerlang pada masa akan datang, sekali gus mengukuhkan peranan penswastaan pasukan Terengganu FC (TFC) sebagai sebuah kelab bola sepak yang lebih berdaya tinggi.

"Pengalaman luas Sheikh Farouk dalam aspek pengurusan, kewangan dan sukan diharap dapat memacu TFCSB ke tahap lebih tinggi," menurut TFCSB.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan