DUNIA

Pihak Berkuasa Singapura Siasat 65 Kes Vape Mengandungi Etomidate

14/08/2025 11:55 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 65 kes melibatkan pemilikan, penjualan atau pengimportan rokok elektronik (e-vaporiser) mengandungi etomidate sedang disiasat di Singapura ketika pihak berkuasa mempergiatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan peranti tersebut.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) berkata setakat 14 Ogos, lima individu telah didakwa di mahkamah kerana menjual atau mengimport e-vaporiser bercampur etomidate.

“MOH dan HSA telah mempergiatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan e-vaporiser bercampur etomidate di Singapura.

“Di bawah Akta Racun, individu yang didapati memiliki, mengimport atau menjual pod mengandungi etomidate boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sehingga S$10,000, jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu.

Etomidate akan diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dan pesalah yang didapati menggunakan e-vaporiser bercampur etomidate akan dikenakan pengawasan serta pemulihan mandatori.

Pesalah berulang boleh didakwa dan dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun. Hukuman lebih berat dikenakan kepada mereka yang menjual, mengedar atau mengimport peranti ini, termasuk penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, seramai 100 individu sedang disiasat atas kesalahan menjual, mengiklankan atau mengimport e-vaporiser di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) manakala 18 individu lagi berdepan pertuduhan di mahkamah atas kesalahan sama.

Pemilikan, penggunaan atau pembelian e-vaporiser membawa hukuman maksimum denda S$2,000. Ia juga menjadi kesalahan untuk mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual e-vaporiser dan komponennya.

Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau seterusnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan