EKONOMI

Takaful Malaysia Cadang Terbit Program Sukuk Subordinat Bahagian Kedua Sehingga RM1 Bilion

14/08/2025 11:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) telah mencadangkan penerbitan program sukuk subordinat bahagian kedua sehingga RM1 bilion dalam nilai nominal berdasarkan prinsip shariah wakalah bi al-istithmar.

Takaful Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata program itu dikenali sebagai program sukuk wakalah, akan digunakan untuk menerbitkan sukuk subordinat Tahap 2 dengan tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh terbitan.

“Sukuk wakalah bahagian kedua diterbitkan di bawah program sukuk wakalah bertujuan untuk melayakkan diri sebagai modal bahagian kedua Takaful Malaysia di bawah Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko untuk Pengendali Takaful dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada 17 Disember, 2018, pada masa sama, rangka kerja itu boleh dipinda, disemak atau diganti dari semasa ke semasa,” katanya.

Takaful Malaysia berkata ia menyerahkan maklumat diperlukan dan dokumen berkaitan hari ini kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menurut garis panduan pengawal selia mengenai produk pasaran modal tidak tersenarai di bawah Rangka Kerja Permulaan dan Pelancaran. 

Syarikat itu berkata ia telah diberikan penarafan kewangan takaful AA2 oleh RAM Rating Services Bhd, manakala program sukuk telah diberi penarafan kredit AA3.

“Hasil daripada sukuk wakalah bahagian kedua akan digunakan untuk modal kerja syarikat, tujuan korporat dan untuk membiayai semula sukuk wakalah bahagian kedua atau instrumen modal patuh shariah yang lain.

"Untuk mengelakkan keraguan, penggunaan hasil hendaklah pada setiap masa untuk tujuan patuh shariah," katanya.

CIMB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal dan pengurus utama tunggal untuk program sukuk wakalah, manakala CIMB Islamic Bank Bhd adalah penasihat shariah.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan