Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 14 Ogos (Bernama) -- Usaha pemantauan gencatan senjata Kemboja-Thailand semakin dipergiat dengan Pasukan Pemerhati Sementara (IOT) yang dianggotai tujuh negara melawat kawasan sempadan hari ini bagi menilai keadaan keselamatan.
Pasukan itu, diketuai Atase Pertahanan Malaysia ke Kemboja Kol Nazlee Abdul Rahman, mengadakan lawatan lapangan untuk meninjau perkembangan terkini di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi titik panas baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Chum Sounry, menggesa Malaysia membantu proses pemantauan bagi mengelak sebarang peningkatan konflik.
“Kemboja menggesa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dan fasilitator bersama gencatan senjata, supaya segera mewujudkan mekanisme pemantauan yang kukuh dan berkecuali bagi mengelakkan peningkatan konflik serta melindungi orang awam dan anggota tentera,” katanya pada sidang media awal hari ini.
IOT turut disertai wakil negara anggota ASEAN lain iaitu Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.
Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, mereka melawat Pos Pemeriksaan Sempadan Boeung Trakoun di wilayah Banteay Meanchey.
IOT merupakan sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Kemboja-Thailand yang diadakan pada 7 Ogos di Kuala Lumpur.
GBC itu diadakan susulan kejayaan Malaysia, bersama Amerika Syarikat dan China, menjadi perantara gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang terlibat dalam konflik bersenjata berhubung wilayah sempadan. Konflik itu berakhir pada 28 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial