AM

Tidak Timbul Isu Kehilangan Kelayakan Anwar Sebagai PM, Ahli Dewan Rakyat - AGC

14/08/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hal itu berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan. 

"Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," menurut AGC.

Kenyataan AGC itu adalah respons kepada laporan media berhubung tindakan saman yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy bagi mencabar kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Tambun dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri. 

AGC berkata asas kepada tindakan Waytha Moorthy tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan kepada Anwar tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

"Jabatan ini menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah. Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman," menurut kenyataan itu. 

Pada 12 Ogos lepas, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Pengerusi Hindraf itu turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan