AM

ECRL: Pusat Pengumpulan Mineral Berpotensi Dibangunkan Di Maran - MB

14/08/2025 01:22 PM

KUANTAN, 14 Ogos (Bernama) -- Pusat pengumpulan mineral seperti bauksit, emas, silika dan bijih besi berpotensi dibangunkan di Maran seiring dengan pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di daerah berkenaan kelak.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata stesen berkenaan akan turut diketengahkan dalam kluster industri pemprosesan dan pembungkusan minyak sawit memandangkan lokasinya yang strategik iaitu di kawasan pengeluaran komoditi itu.

Beliau berkata stesen ECRL Temerloh yang dibangunkan berhampiran kawasan perindustrian sedia ada seperti Kawasan Perindustrian Temerloh, Songsang dan Kampung Sempadan dikenal pasti untuk pembangunan pelbagai jenis industri antaranya perabot.

Wan Rosdy berkata Stesen ECRL Paya Besar pula akan menjadi tumpuan pembangunan industri berimpak tinggi menerusi Taman Teknologi Pahang (PTP), Taman Industri Halal Gambang (GHP) dan Kompleks Makanan Halal Negeri Pahang atau bengkel industri kecil dan sederhana (IKS).  

“Pembangunan di kawasan ini menyasarkan industri ringan, sederhana dan berat serta telah dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rizal Jamin (ADUN Lantikan) yang ingin tahu jenis industri yang dikenal pasti berpotensi dibangunkan di sepanjang jajaran ECRL.

Wan Rosdy berkata stesen ECRL Cherating dilihat mampu menyokong pembangunan pelaburan dalam sektor pelancongan pesisir pantai, hospitaliti dan ekopelancongan. 

“Stesen ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pelancongan di kawasan Cherating,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri yakin ECRL akan menjadikan Pahang sebagai hab pelaburan, perindustrian dan logistik utama di Pantai Timur.

“Perancangan pembangunan secara tersusun di setiap stesen serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan akan memastikan inisiatif ini membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata dianggarkan 600 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan khusus di Pahang meliputi pelbagai kategori antaranya juruteknik dan jurutera sistem rel serta pegawai tiket selepas projek berkenaan siap. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abd Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam) yang bertanyakan peluang pekerjaan baharu yang dijangka diwujudkan untuk rakyat Pahang selepas siapnya projek ECRL. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan