KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan sedang giat membuat persiapan logistik untuk kemudahan 100,000 pengunjung yang dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Jurutera PPj Faridz Amli Shaharudin berkata kemudahan yang disediakan antaranya termasuklah 8,000 tempat duduk untuk orang ramai yang akan dibuka seawal pukul 5 pagi pada hari acara.
Beliau berkata kemudahan lain ialah 200 tandas awam, lima surau sementara, dua surau bergerak, 18 khemah perubatan, lebih 40 tapak trak makanan serta 14 skrin LED di sepanjang laluan perbarisan sejauh 2.1 kilometer dari tapak berkumpul hingga Dataran Masjid Putra.
“Bagi memudahkan kehadiran pengunjung, PPj menyediakan pengangkutan percuma termasuk 80 bas ulang-alik bermula seawal pukul 4 pagi dari tiga lokasi utama, iaitu Putrajaya Sentral, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan di sekitar Bulatan Putrajaya, selain kemudahan enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya,” katanya semasa temu bual dengan Bernama Radio, hari ini.
Secara keseluruhannya, beliau berkata persiapan setakat ini mencapai 70 peratus yang dilaksanakan oleh 17 jawatankuasa kerja melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan semua aspek teknikal, logistik dan keselamatan berjalan lancar.
“Setakat ini, pemasangan Royal Box serta 1,400 tempat duduk individu kenamaan pula sudah mencapai hampir 80 peratus,” katanya.
Faridz berkata sesi raptai awal sambutan akan diadakan bermula pada 26 Ogos, manakala raptai penuh berlangsung pada 29 Ogos dan boleh disaksikan oleh orang ramai.
Beliau turut mengingatkan pengunjung agar mematuhi peraturan keselamatan, menjaga kebersihan serta membawa kelengkapan seperti payung atau baju hujan memandangkan acara berlangsung di kawasan terbuka.
Faridz berkata sambutan Hari Kebangsaan akan turut dimeriahkan dengan program prasambutan Riuh Merdeka selama 30 jam bermula pada 12 tengah hari, 30 Ogos, di kawasan Monumen Alaf Baru yang menampilkan aktiviti menarik seperti konsert, wayang pacak dan gerai jualan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Hari Kebangsaan 2025 melalui platform media sosial rasmi sambutan, Merdeka360.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial