AM

Filantropi Dapat Tangani Jurang Pasaran, Perkasa Ekonomi MADANI

14/08/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) – Filantropi memainkan peranan penting dalam menangani jurang dalam pasaran dan mewujudkan pendekatan baharu untuk kesejahteraan sosial, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata Kerangka Ekonomi MADANI, yang memberi tumpuan kepada pembaharuan struktur seperti menambah baik prestasi pasaran buruh, meningkatkan pendapatan isi rumah, memacu kemampanan fiskal dan mempertingkat penyampaian kerajaan, memerlukan usaha bersepadu daripada semua sektor.

“Kerangka ini memerlukan semua sektor — kerajaan, industri swasta dan yang paling penting, sektor filantropi dan masyarakat sivil - bekerjasama secara erat. Filantropi memainkan peranan penting dalam menangani jurang yang tidak dapat dicapai oleh pasaran dan mewujudkan pendekatan baharu bagi kesejahteraan sosial.

“Bagaimanapun, kita perlu memastikan bahawa filantropi bukan bersifat ekstraktif, preskriptif tetapi responsif...berdasarkan apa yang masyarakat sendiri perlukan, impikan dan apa yang mereka mampu bina,” katanya dalam ucapan pada Forum Hasanah edisi ketiga hari ini.

Forum Hasanah, bertemakan “Philanthropy That Listens: Bridging Intent With Interventions”, telah menarik lebih 500 individu berpengaruh Malaysia selama dua hari bagi dialog yang berpandangan ke hadapan untuk memperkukuh daya tahan negara.

Dianjurkan Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional, forum ini mempunyai misi merapatkan keutamaan negara dengan realiti masyarakat.

Amir Hamzah turut menggesa sektor filantropi di Malaysia untuk mengambil risiko bagi pihak mereka yang tidak dapat dipenuhi oleh pasaran dan kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan sektor kerajaan, termasuk diri saya sendiri, bahawa peranan kita bukan untuk menentukan tetapi untuk memudah cara.

“Kita perlu meruntuhkan tembok pemisah antara kementerian. Kita mesti mewujudkan persekitaran yang menyokong pembiayaan bercampur, perkongsian awam-swasta-sosial dan reka bentuk dasar secara kolaboratif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan