AM

55 PERATUS PREMIS KESIHATAN SWASTA PATUH PEMAPARAN HARGA UBAT - LUKANISMAN

12/08/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 55 peratus daripada 1,639 fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara mematuhi pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang berkuat kuasa 1 Mei lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pemantauan dilakukan kementerian itu mendapati pematuhan sebanyak 55 peratus atau bersamaan 900 premis swasta berkenaan berada di tahap memuaskan.

“… manakala 45 peratus lagi bersamaan 739 fasiliti masih belum mencapai tahap pematuhan yang dikehendaki, termasuk paparan harga tidak lengkap atau paparan harga yang tidak mudah diakses oleh pesakit.

“Dapatan ini menunjukkan masih terdapat keperluan bagi tindakan susulan seperti pengukuhan pemantauan, sesi bimbingan lanjut dan pelaksanaan penguatkuasaan secara berperingkat terhadap premis yang gagal mematuhi keperluan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Lukanisman menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status pelaksanaan pemaparan harga ubat berkenaan di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti serta keberkesanannya dalam mengawal caj perkhidmatan jagaan kesihatan.

Beliau berkata kementerian juga akan melakukan kajian terhadap impak pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat itu bermula September ini.

“Dapatan kajian ini akan menjadi akses penting bagi merangka cadangan penambahbaikan dasar yang lebih komprehensif dan mampan khususnya dalam aspek penetapan dan ketelusan harga ubat-ubatan di fasiliti kesihatan swasta.

“Ini penting ke arah mewujudkan sistem perkhidmatan perubatan dan farmasi swasta yang lebih telus, adil dan berpaksikan pengguna,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus mengenai isu caj konsultasi yang menurutnya sudah lebih 30 tahun tidak disemak, Lukanisman berkata kementerian kini sedang mengadakan sesi libat urus yang sangat komprehensif bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan