JENAYAH & MAHKAMAH

ABANG MAUT, ADIK CEDERA PARAH MOTOSIKAL DITUNGGANG LANGGAR POKOK TUMBANG

12/08/2025 04:59 PM

MELAKA, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala adiknya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar pokok tumbang di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) di Kandang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 1.04 pagi tadi dan mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Fauzy Borhan, 32, manakala adiknya Muhammad Naim, 29, mengalami kecederaan parah di kepala.

"Siasatan mendapati Muhammad Fauzy menunggang Yamaha NVX dan adiknya menunggang Yamaha Y15 dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan ke Muar, Johor sebelum terlanggar pokok tumbang di lokasi kejadian. 

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak sehingga menyebabkan Muhammad Fauzy meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adiknya cedera parah di kepala," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan