KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Penempatan pejabat tetap sekretariat Institut Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Asia (AOSHRI) di ibu pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Bandar Baru Bangi mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkasakan pembangunan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di peringkat serantau.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kewujudan pejabat itu bukan sekadar berperanan sebagai pusat pentadbiran AOSHRI, malah bakal menjadi hab dinamik bagi penyelidikan KKP diterajui ASEAN serta membantu aspek penyelarasan dasar dan pertukaran ilmu merentasi sempadan.
“Perkara ini sebahagian daripada Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045 yang penting kepada ASEAN untuk mengembangkan penyelididkan secara holitisk, inklusif dan memastikan mendapat pendekatan serantau,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak KKP ASEAN 2025 yang turut dihadiri Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata AOSHRI menghimpunkan organisasi penyelidikan berkaitan KKP dari negara-negara ASEAN serta rakan serantau lain termasuk China, Jepun dan Korea Selatan.
Beliau berkata jaringan keanggotaan yang meluas jelas menunjukkan bahawa usaha menjaga kesejahteraan pekerja bukan sahaja menjadi agenda nasional, tetapi juga merupakan keperluan bersama di rantau ini.
“Usaha untuk memacu penyelidikan berkaitan KKP ini mampu dilaksanakan dengan sokongan NIOSH Malaysia yang memiliki 13 makmal khusus untuk pelbagai bidang seperti higen industri, analisis kimia dan biologi, ergonomik serta pengujian peralatan perlindungan diri,” katanya.
Abdul Rahman berkata kemudahan bertaraf dunia yang mampu menjalankan kajian berimpak tinggi serta membantu proses pembangunan standard itu amat penting demi memajukan penyelidikan KKP serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata Kerangka Inisiatif Penyelidikan Malaysia untuk Agenda Negara 3.0 (MaRINA 3.0) yang akan dibentangkan pada persidangan kali ini bakal menjadi rujukan negara serantau bagi merangka hala tuju penyelidikan masing-masing.
“Bengkel Pra-MaRINA 3.0 yang dianjurkan NIOSH di Putrajaya bulan lepas menghimpunkan pakar dari rantau ASEAN dan peringkat antarabangsa termasuk wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa(ILO), Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-Negara Islam (SESRIC) Tukiye serta University of South Australia.
“Bengkel berkenaan memperincikan keutamaan penyelidikan KKP Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang dengan memberi tumpuan kepada risiko-risko baharu KKP, transformasi industri dan masa depan pekerjaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial