AM

Kebocoran Gas Kerteh: NIOSH Gesa Majikan Tingkat Latihan Dan Keselamatan Pekerja

22/09/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Majikan dalam sektor berisiko tinggi seperti petroleum dan gas perlu memastikan kakitangan mereka menerima latihan mencukupi supaya mampu menjalankan penilaian risiko secara sistematik serta mengambil langkah tepat dalam menangani sebarang insiden yang boleh membahayakan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen berkata insiden kebocoran paip gas butana di Kerteh pada Sabtu lepas perlu menjadi peringatan serius kepada semua pihak tentang kepentingan latihan, agar tindakan pencegahan kemalangan secara menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Majikan dan pekerja syarikat, termasuk vendor dan subkontraktor, perlu melaksanakan pendekatan  Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control - HIRARC) secara konsisten agar situasi bahaya seperti kebocoran gas dapat dikenal pasti lebih awal.

“Melalui HIRARC, punca dan risiko kemalangan dapat dinilai dengan tepat, seterusnya membolehkan langkah kawalan dilaksanakan, termasuk penggunaan teknologi kejuruteraan terkini melibatkan peralatan dan sensor yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pekerja yang terlatih akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk memakai peralatan pelindungan diri (PPE) yang sesuai serta segera melaporkan dan mengambil tindakan tepat bagi mengelak kemalangan di tempat kerja dan melindungi orang awam.

Chong turut mengingatkan majikan dan pekerja supaya tentang hak dan tanggungjawab masing-masing seperti yang terkandung dalam beberapa seksyen dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

Pada masa sama, katanya NIOSH sebagai pusat kecemerlangan keselamatan dan kesihatan (KKP), memiliki kepakaran, modul latihan, fasiliti simulasi kecemasan, dan 13 makmal bertaraf antarabangsa yang berupaya membantu pihak industri meningkatkan tahap keselamatan pekerja dan infrastruktur berisiko tinggi.”

NIOSH turut menyatakan kesediaan membantu agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam menjalankan siasatan dan merangka strategi kawalan yang lebih berkesan untuk semua industri. 

Dalam kejadian pada 20 Sept lepas, polis terpaksa menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas Petronas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Razi Rosli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 pagi, melaporkan kebocoran paip gas jenis butana yang mudah terbakar, dengan lokasi kebocoran kira-kira dua kilometer dari jalan utama.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan