EKONOMI

Cadangan Tubuh Sekretariat RCEP Tekankan Kepentingan Kawasan Perdagangan Bebas Terbesar Di Dunia

26/09/2025 12:31 AM

Oleh Nor Baizura Basri dan Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Keputusan berkemungkinan menubuhkan Sekretariat khusus oleh Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menekankan kepentingan peranan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam dinamik perdagangan global.

Dengan mempunyai pejabat pusat sedemikian, negara anggota ASEAN dan rakan dialog utama telah menunjukkan komitmen mereka untuk menentukur semula keutamaan perdagangan serantau dan mengoperasikan perkongsian dalam rejim perdagangan bebas dan terbuka apabila negara-negara anggota baharu berpotensi menyertai RCEP.

Menteri-Menteri RCEP hari ini pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 juga menyatakan bahawa Hong Kong, Bangladesh, Sri Lanka dan Chile kini mahu menyertai RCEP.

Negara anggota ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand telah melangkah lebih jauh dengan bersetuju untuk menyemak semula perjanjian RCEP untuk memastikan perkongsian itu kekal relevan dalam persekitaran perubahan landskap ekonomi susulan peningkatan kecederungan dasar perlindungan oleh kuasa besar ekonomi - Amerika Syarikat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata cadangan itu adalah antara perkara utama dibincangkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP Ke-4, selain daripada rancangan untuk mencadangkan Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP supaya menghimpunkan ketua kerajaan dan ketua negara dari 15 negara anggota RCEP yang akan mengesahkan komitmen terhadap perdagangan dan pelaburan serantau serta meneroka kemungkinan mengembangkan keanggotaan.

"Kami sedang membincangkan penubuhan Sekretariat RCEP khusus untuk memberi tumpuan semata-mata kepada perkara-perkara RCEP supaya perjanjian itu boleh ditambah baik. Ia juga tepa pada masanya untuk semakan semula," katanya.

Semakan semula dan pengembangan RCEP adalah sebahagian daripada usaha ASEAN untuk mengekalkan kerelevanan pakatan di tengah-tengah landskap perdagangan yang berubah termasuk klausa kemampanan yang lebih kukuh dan penggunaan sektor swasta.

Sementara itu, hubungan ASEAN dengan Australia dan New Zealand mencatat pencapaian baharu apabila Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) yang ditambah baik, mula berkuat kuasa pada April tahun ini dipuji sebagai mekanisme ‘praktikal dan berpandangan jauh’ untuk menangani gangguan ekonomi semasa.

Perundingan AEM–Closer Economic Relations (CER) ke-30 menandakan 51 tahun hubungan ASEAN–Australia dan 50 tahun dengan New Zealand, menggariskan kekukuhan perkongsian itu dengan para menteri menggesa melakukan ratifikasi segera terhadap AANZFTA yang dinaik taraf itu oleh pihak-pihak yang masih berbuat demikian untuk membuka kunci manfaat sepenuhya.

Dalam pada itu, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Jamieson Greer memberitahu pemberita bahawa Washington tidak menolak kemungkinan mengenakan tarif lanjut ke atas negara anggota ASEAN jika perjanjian perdagangan yang dirundingkannya tidak memihak kepada AS.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan kini adalah untuk merundingkan perjanjian perdagangan dan bukannya tarif.

“Maksudnya, jika kita tidak dapat mencapai persetujuan, maka tarif mungkin kekal sebagai jalan penyelesaian,” katanya.

Bagaimanapun, Greer enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada tarif akan dikenakan ke atas eksport semikonduktor dari negara ASEAN.

Dalam perkembangan lain, Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) dijangka dimuktamadkan menjelang tahun depan, memandangkan peringkat akhir rundingan akan diteruskan tidak lama lagi, kata Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi Maroš Šefčovič selepas berunding dengan AEM.

Sementara itu, United Kingdom (UK) dan ASEAN mengulangi komitmen mereka untuk memajukan perdagangan digital termasuk melalui perbincangan penerokaan mengenai perjanjian perdagangan digital dua hala dengan Malaysia dan Thailand.

Timbalan Setiausaha Parlimen UK di Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi, Liz Lloyd berkata berkata penyertaan London kepada Perjanjian Progresid dan Komprehensif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada Disember 2024 sebagai satu peristiwa penting dalam melibatkan UK dalam perdagangan Indo-Pasifik.

Dalam kerjasama tenaga, Malaysia mengetengahkan Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia, Singapura (LTMS) dan mencadangkan Grid Borneo sebagai model untuk Grid Tenaga ASEAN.

Memorandum Persefahaman (MoU) baharu mengenai perdagangan tenaga serantau dijangka ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN yang akan datang pada Oktober ini.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn dalam ucapan penutup memuji Malaysia sebagai pengerusi yang luar biasa kerana mengemudi rantau ini melalui tahun yang mencabar, menunjukkan kemajuan dalam pencapaian utama seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang ditambah baik dan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), kedua-duanya dijadual diterima pakai pada Oktober depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan