Mayat Warga Emas Ditemukan Dalam Keadaan Berulat Di Ruang Tamu Rumah

19/12/2025 03:18 PM

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tubuhnya membengkak dan berulat di ruang tamu sebuah rumah teres di Taman Seri Inderapura, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada 7.50 malam kerana pengadu terhidu bau busuk dan mengesyaki bau itu datang dari rumah mangsa. 

Beliau berkata pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah yang berkunci untuk masuk ke lokasi sebelum menjumpai mayat terbabit dalam keadaan terbaring di atas kerusi di ruang tamu.

“Siasatan awal mendapati mayat Lim Jin, 78, tinggal bersendirian, dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pengadu memaklumkan mangsa telah menetap di rumah terbabit lebih 30 tahun, selain kali terakhir pengadu berjumpa dengan mangsa lebih kurang lima hari lepas. 

Ashari berkata siasatan mendapati punca kematian adalah disebabkan penyakit dan tidak melibatkan sebarang perbuatan jenayah.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan turut menemukan beberapa jenis ubat milik mangsa. Semakan dengan pihak perubatan mendapati ubat berkenaan adalah untuk rawatan penyakit darah tinggi, sakit jantung, ubat kolesterol dan juga kanser prostat,” katanya. 

Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut dan usaha mengesan waris sedang dijalankan.  

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan