Polis Rakam Percakapan Fahmi Reza Berkait Hantaran Hina Institusi Diraja

19/12/2025 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Polis hari ini merakam percakapan aktivis dan pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa menghina Institusi Diraja Johor di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata polis turut merampas telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 melibatkan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Setakat ini, polis telah menerima 284 laporan polis berkaitan isu itu dari seluruh negara

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang bersifat menghina institusi diraja mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di Facebook satu hantaran oleh Fahmi Reza yang dikatakan menyentuh Institusi Diraja Johor sebelum beberapa pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat di negeri itu membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan