Polis Melaka Tahan 15 Warga Myanmar Disyaki Terlibat Aktiviti Pemerdagangan Manusia

19/12/2025 09:07 PM

MELAKA, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 15 warga Myanmar terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dalam satu OPS Pintas di pekarangan lobi sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam serbuan kira-kira 5 petang semalam, kesemua warga Myanmar berusia 21 hingga 39 tahun itu ditahan hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Seorang daripada mereka yang ditahan itu disyaki ejen aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berkenaan, dan polis telah merampas sebuah motosikal serta telefon bimbitnya.

“Kesemua suspek direman sehingga 15 Jan tahun hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 Christopher berkata pihaknya memandang serius sebarang aktiviti jenayah dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah terlibat dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyalurkan maklumat ke IPD Melaka Tengah, bagi membantu membanteras jenayah daripada berlaku.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah, diminta menyalurkannya menerusi talian 06-2842222.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan