KOTA KINABALU, 18 Dis (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan pendengaran kes menghina mahkamah melibatkan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kenyataannya didakwa berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir, pada 3 Feb tahun hadapan.
Mohd Shafie tidak hadir pada prosiding hari ini, walaupun mahkamah sebelum ini mengingatkan peguamnya untuk memastikan Ahli Parlimen Semporna itu, hadir ke mahkamah apabila kes disebut.
Pada prosiding hari ini, Hakim Amir Shah Amir Hassan turut mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavitnya selewat-lewatnya pada 26 Dis, dengan memfailkan jawapan balas pada 9 Jan tahun depan dan hujahan bertulis kedua-dua pihak perlu difailkan selewatnya pada 19 Jan tahun depan.
Mohd Shafie, diwakili pasukan peguan diketuai Chen Ket Chuin KC bersama Jakariya Ab Jalil dan Bartholomew Jingulam, memaklumkan mahkamah bahawa permohonan untuk membatalkan prosiding komital itu difailkan pada 15 Dis.
Chen berkata pihak pembelaan juga akan memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan itu dan menentang prosiding komital yang disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalan.
Pada 23 Okt, Amir Shah memberikan kebenaran kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap responden, selepas hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa dan Nadia Mohd Izhar.
Menurut AGC, selaras dengan kebenaran mahkamah yang diberikan itu, kertas kausa bagi prosiding komital telah diserahkan kepada Mohd Shafie pada 3 Nov lepas di Tawau, Sabah.
Responden dikehendaki menjawab penyataan tersebut mengikut Aturan 52 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, serta memfailkan afidavit sokongan masing-masing dalam tempoh 14 hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial