KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kejayaan Malaysia menarik 1.5 juta pengunjung serta potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM13 bilion dalam Ekspo Dunia 2025 Osaka, Kansai, Jepun pada 13 April hingga 13 Okt lepas, merupakan hasil semangat kebersamaan, keikhlasan dan rasa tanggungjawab semua pihak terlibat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata walaupun penyertaan negara di ekpo itu dilaksanakan dalam tempoh persediaan yang singkat, namun tetap membawa misi besar untuk mengangkat maruah dan imej negara di persada antarabangsa.
Beliau berkata reka bentuk dan seni bina tapak Ekspo Osaka 2025 yang bertemakan Designing Future Society for Our Lives, menonjolkan mesej penyatuan budaya dan inovasi global, dengan Pavilion Malaysia tampil berteraskan konsep anyaman buluh seperti tenunan songket menerusi tema Weaving a Future in Harmony.
“Sambutan luar biasa pengunjung antarabangsa terhadap Pavilion Malaysia amat membanggakan. Tarikan unik seperti Flying Roti Canai bukan sahaja mencuri perhatian, malah telah diiktiraf sebagai hidangan paling lazat di Ekspo 2025, sekali gus mengukuhkan pendekatan diplomasi makanan negara.
“Hasilnya, Pavilion Malaysia berjaya menarik seramai 3.52 juta pengunjung, jauh mengatasi sasaran awal. Pavilion ini juga berperanan sebagai hab mini ASEAN, memperkukuh hubungan serantau dan mempromosikan semangat solidariti ASEAN kepada dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Hantaran itu dibuat selepas beliau menghadiri Malam Jalinan Harmoni, Sanjungan Budi #Expo 2025 Osaka, bagi meraikan kejayaan penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025 Osaka yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalannya Sim Tze Tzin serta Timbalan Menteri Kewangan Liew Ching Tong.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyertaan Malaysia itu juga telah merekodkan potensi perdagangan dan pelaburan berjumlah RM24.45 bilion yang melebihi sasaran awal, sekali gus membuka peluang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perusahaan tempatan.
Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil pendekatan whole-of-government melibatkan pelbagai kementerian, kerajaan negeri, agensi serta ratusan syarikat Malaysia dan pengorbanan masa, tenaga dan komitmen pasukan Pavilion Malaysia sepanjang 184 hari operasi wajar diberi penghargaan tertinggi.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Sekretariat Malaysia Ekspo Dunia Osaka dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025 Osaka.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Semoga kejayaan ini terus menjadi pemangkin untuk membawa nama Malaysia lebih tersohor dan makmur pada peringkat global,” katanya.
Ekspo Dunia Osaka 2025 yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt 2025 di Pulau Yumeshima, Kansai, Jepun, merupakan pameran dan acara yang berfokus pada inovasi serta kerjasama antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial