Tiada Prospek Kejayaan, AGC Tarik Balik Rayuan Terhadap Pembebasan Rosmah

12/12/2025 09:12 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram, setelah berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan di Mahkamah Rayuan.

Dalam kenyataan, AGC memaklumkan jabatan itu telah menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Okt 2025 berhubung keputusan terbabit selepas meneliti sepenuhnya alasan penghakiman yang diperoleh.

Menurut AGC, antara faktor yang diambil kira adalah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah, memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap Rosmah telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan. 

“Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan menegaskan bahawa semua aspek utama kes, termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan diambil, dengan Notis Penarikan Balik Rayuan difailkan pada 9 Dis lepas.

Semalam, media melaporkan bahawa Notis Penarikan Balik Rayuan yang dikemukakan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Dis, menyatakan mereka tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan itu.

Bagaimanapun, AGC memaklumkan keputusan untuk menarik balik rayuan terbabit tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan, termasuk kes rasuah berkaitan projek solar hibrid melibatkan tertuduh yang tetap diteruskan dan kini berada pada peringkat Mahkamah Rayuan.

“Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Sept 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta. 

“Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti, serta keputusan dibuat sentiasa berlandaskan undang-undang dan bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara.

Pada 19 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepaskan dan membebaskan Rosmah, 74, daripada pertuduhan terbabit, selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan terbabit pada September 2023 dan perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023, dengan dua saksi telah memberikan keterangan di mahkamah.

Pada 4 Okt 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang, di sini antara 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram terbabit atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.

Pertuduhan berkaitan pengelakan cukai pula dibuat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang mewajibkan beliau mengemukakan borang taksiran pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN selewat-lewatnya pada 30 April untuk 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2018, tanpa alasan munasabah, melanggar seksyen 112 akta tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan