SHAH ALAM, 15 Dis (Bernama) -- Polis percaya berjaya membongkar kegiatan pembungkusan dadah dengan penahanan tiga individu dan merampas pelbagai jenis barang larangan itu bernilai RM10.4 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kajang, 8 Dis lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua ditahan terdiri daripada dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing berumur antara 40 hingga 45 tahun yang disyaki berperanan sebagai pembungkus di rumah dijadikan stor penyimpanan pelbagai dadah itu, sejak tiga bulan lepas.
Beliau berkata selain pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 81 kilogram (kg), polis turut merampas 1,600 batang rokok mengandungi bahan disyaki dadah bunga ganja dianggar seberat dua kilogram selain 400 kotak minuman dan botol disyaki berisi cecair ekstasi dengan isipadu kira-kira 195.50 liter.
"Serbuan itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hasil maklumat dan risikan. Kita percaya dadah ini untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rampasan lain melibatkan 1,539 peket disyaki serbuk ekstasi seberat kira-kira 50kg, ketamin (21.5 kg), pil ekstasi (2.5 kg), syabu (980 gram), pil eramin 5 (3.5 kg) serta pil yaba (587 gram).
Shazeli berkata dua suspek wanita yang masih bujang itu dipercayai menerima bayaran upah RM5,000, manakala suspek lelaki dikatakan baru mula bekerja selepas memasuki negara ini pada 25 Nov lepas.
Beliau berkata pihaknya masih menyemak status lelaki warga asing itu dengan Jabatan Imigresen Malaysia selepas mendapati tiada cap jari kemasukan pada pasport miliknya.
“Kesemuanya kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial