SHAH ALAM, 15 Dis (Bernama) -- Polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengenal pasti individu yang dipercayai memuat naik ugutan terhadap seorang peguam di media sosial berkaitan kes tembakan di Melaka.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata keterangan daripada peguam terbabit serta beberapa individu telah diambil bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata peguam yang mewakili tiga lelaki dalam insiden terbabit telah membuat laporan pada 5 Dis lepas setelah membaca salah daripada komen dalam hantaran di aplikasi Facebook.
“Kami telah memohon bantuan MCMC untuk mendapatkan profil individu yang membuat komen (ugutan) terbabit dan masih menunggu maklum balas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat dilaporkan berkata peguam terbabit membuat laporan selepas membaca komen daripada individu tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya, dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes yang sedang dikendalikan oleh peguam berkenaan.
Pada 24 Nov lepas, polis Melaka dilaporkan menembak mati ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT selepas menetak seorang anggotanya yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah selain turut dikehendaki polis manakala seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.
Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial