Albert Tei: Polis Belum Temukan Bukti Sahkan Anggota SPRM Acu Senjata Ketika Serbuan

15/12/2025 01:52 PM

SHAH ALAM, 15 Dis (Bernama) -- Polis masih belum menemukan sebarang keterangan dan bukti yang boleh mengesahkan dakwaan berhubung pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacu senjata dalam kes serbuan dan penahanan ahli perniagaan Albert Tei di rumahnya di Puchong pada 28 Nov lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata ia berdasarkan siasatan awal yang dijalankan selepas pihaknya merakam keterangan semua pegawai dan anggota SPRM yang terlibat dalam serbuan itu serta isteri kepada Albert Tei, yang juga pengadu dalam kes berkenaan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan secara terperinci dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes itu.

“Banyak saksi telah dipanggil bagi dirakam keterangan dan membantu siasatan, cuma saya tidak boleh dedahkan jumlahnya sekarang. Mohon bagi ruang kepada polis selesaikan siasatan. 

“Cuma ahli keluarga pengadu yang belum beri keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian tetapi mereka telah beri komitmen untuk datang apabila dipanggil kelak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata polis turut menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman terbabit serta rakaman perbualan telefon dan telah diserahkan kepada pihak forensik untuk disemak dan analisa lanjut. 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah CCTV yang diterima berikutan siasatan masih berjalan.

“Rakaman berkenaan memang wujud tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang. Kami juga akan memanggil semula pengadu, iaitu isteri Albert Tei bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya.

Shazeli berkata pihaknya juga membuka satu kertas inkuiri polis bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan pegawai SPRM yang menjalankan serbuan ke kediaman ahli perniagaan Albert Tei dilengkapi kamera badan termasuk alat rakaman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki turut dilaporkan berkata pihaknya membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan agar siasatan dapat dijalankan supaya tiada pihak yang berniat jahat menyebarkan berita tidak sahih berkaitan SPRM.

Azam berkata penahanan Albert Tei dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan selain menafikan berlaku situasi apabila pegawai SPRM mengacukan senjata pada kepala ahli perniagaan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan