KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah disyaki methamphetamine bernilai lebih RM10.9 juta di Kuala Nerang, Kedah semalam, jumlah rampasan terbesar direkodkan tahun ini.
TDM dalam kenyataan memaklumkan operasi pada 4.30 pagi itu diketuai Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim bersama lima anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) telah menahan seorang lelaki warga Thailand dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 1.2 kilometer dari Kem Sahara, Kuala Nerang.
“Pemeriksaan menjumpai sebuah walkie-talkie, sebilah parang, satu beg pinggang dan lampu suluh,” menurut kenyataan itu.
Susulan penahanan itu, pemeriksaan lanjut pada 7 pagi sepanjang laluan suspek menemukan 331 bungkusan berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah methamphetamine, masing-masing seberat satu kilogram.
Nilai setiap bungkusan dianggarkan RM33,000, menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM10.923 juta.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada 2.55 petang hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial