KOTA BHARU, 11 Dis (Bernama) -- Empat tekong darat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyeludup lapan warga Myanmar di Kuala Krai dan Machang pada November lepas.
Raja Yusuf Saifullah Raja Shariffudin, 34, Miqdad Elya Zulkifli, 39, Nor Hizam Mohd Nor, 45, dan Mohamad Faizul Mat Yusoh, 43, masing-masing mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Raja Yusuf Saifullah dan Miqdad Elya didakwa menyeludup dua lelaki warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai pada 4.45 petang 14 Nov lepas manakala Nor Hizam dan Mohamad Faizul didakwa menyeludup enam lelaki warga Myanmar di hadapan sebuah rumah teres di Pulai Chondong, Machang pada kira-kira 12.30 tengah malam 15 Nov lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala peguam Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal mewakili Raja Yusuf Saifullah.
Tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial