Suspek Rempuh Polis, Lima Das Tembakan Dilepaskan

11/10/2025 09:58 AM

‎SHAH ALAM, 11 Okt (Bernama) -- Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kereta yang merempuh kenderaan pasukan itu ketika suspek cuba melarikan diri daripada ditahan berhampiran Plaza Tol Telok Panglima Garang, Kuala Langat awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu pasukan khas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dibantu anggota PGA Pos Pulau Carey telah menahan dua kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pacuan empat roda yang masing-masing dipenuhi warganegara asing. 

‎"Suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda telah bertindak mengundur dengan laju dan merempuh kereta persendirian jenis Perodua Myvi milik anggota Pos Pulau Carey hingga remuk di bahagian hadapan dan tidak dapat dihidupkan.

‎"Pada masa sama, kereta SUV pula merempuh ke arah kereta pasukan dan dua anggota bertindak melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kenderaan SUV tersebut. Tembakan telah dilepaskan sebanyak lima das dan mengenai tayar kereta suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

‎Mohd Akmalrizal berkata dalam kekecohan itu suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda mengambil kesempatan melarikan diri dengan cara memandu melawan arus memasuki ke jalan sebelah kawasan tol terbabit, manakala SUV pula terus memecut melepasi kawasan itu menuju ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE). 

‎"Anggota di lokasi cuba mengejar kenderaan SUV itu menuju ke Lebuhraya SKVE. Semasa melalui lebuh raya tersebut, pengadu telah melihat kenderaan Fortuner ditinggalkan di bahu jalan dalam keadaan pintu terbuka dan tiada sebarang individu di dalam kenderaan tersebut.

‎"Seterusnya, anggota serbuan telah berhenti di lokasi dan membuat pencarian suspek warga asing terlibat namun gagal dijumpai. Pemeriksaan keseluruhan di dalam kenderaan SUV itu juga tidak menjumpai apa-apa barang salah," katanya. 

‎Beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mana-mana pihak selain usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan. 

‎Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan serta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

‎Kes disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan.

‎-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan