Tipu Urusan Pinjaman Peribadi, Penganggur Dihukum Penjara 12 Bulan, Satu Sebatan

10/10/2025 03:11 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang lelaki dalam urusan mendapatkan kelulusan pinjaman peribadi daripada sebuah bank.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Nabilq Saparuddin, 34, mengaku bersalah.

Bapa lima anak itu didakwa menipu Mohd Din Hafeez Efandi, 38, dengan memperdayakan mangsa sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM1,500 dan memasukkan wang berjumlah RM4,000 ke dalam akaun milik tertuduh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah di sini di antara 5 petang 26 Julai 2015 hingga 12 tengah hari 27 Julai 2015 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, dengan sebatan dan boleh juga didenda.

Mengikut fakta kes, Mohd Din Hafeez yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta telah berurusan dengan tertuduh bagi urusan kelulusan pinjaman peribadi sebanyak RM250,000.

Mangsa telah menyerahkan wang tunai dan melakukan pindahan wang kepada tertuduh berjumlah RM5,500 dan dimaklumkan bahawa kelulusan pinjaman mengambil tempoh selama 21 hari bekerja namun selepas itu, wang yang dimohon tidak diterima.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Muhammad Nabilq dan masyarakat manakala tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan dia mempunyai masalah kesihatan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan