Penjual Pakaian Pijak Kepala Anak Saudara Dipenjara Lima Bulan

10/10/2025 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Seorang penjual pakaian dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana memijak kepala anak saudaranya sehingga cedera, Mei lepas.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman itu terhadap Norasmad Mohd Hussin, 36, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu, dengan tempoh penjara bermula dari tarikh tangkap 28 Mei. 

Norasmad didakwa mencederakan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sebuah rumah di Taman Samudera, Batu Caves, Selangor pada 1 pagi 26 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa melihat kelakuan tertuduh di dalam sebuah bilik rumah itu.

Apabila ditanya sebab berbuat demikian, tertuduh memberitahu mangsa mencuri pemetik api miliknya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Izleen Ismail memohon hukuman ringan kerana anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan