Mahkamah Persekutuan Ganti Sabitan Membunuh Dua Warga Pakistan Kepada Sebabkan Kematian Tanpa Niat

09/10/2025 06:15 PM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan kesalahan membunuh terhadap dua warga Pakistan dan menggantikannya dengan sabitan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, terhadap rakan senegara mereka serta menjatuhkan masing-masing hukuman penjara 18 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah, dalam keputusan sebulat suara semalam, membenarkan rayuan dikemukakan Mehmood Nasir, 48, dan Muhammad Ramzan, 34, semalam.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 17 Ogos 2018.

Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Mehmood dan peguam S. Jayananda Rao yang mewakili Muhammad Ramzan ketika dihubungi Bernama mengesahkan keputusan mahkamah tersebut.

Jayananda berkata Mahkamah Persekutuan mendapati elemen di bawah Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan tidak dipenuhi dan oleh itu sabitan kesalahan membunuh tidak dapat dikekalkan.

Beliau berkata semasa prosiding rayuan, beliau telah menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal meneliti elemen di bawah Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan secara melampaui keraguan munasabah dan oleh itu pertuduhan membunuh tidak dapat disabitkan.

Oleh sebab itu, beliau meminta Mahkamah Persekutuan untuk menggantikan pertuduhan itu dengan pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, yang membawa hukuman lebih ringan.

Mehmood dan Muhammad Ramzan pada asalnya didakwa membunuh rakan senegara mereka, Ali Adnan, 28, di sebuah bilik di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Selangor, antara 5 petang pada 15 Ogos 2018 dan 3 pagi keesokan harinya.

Pada 7 April 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan kedua-dua mereka atas kesalahan membunuh dan menjatuhkan hukuman mati. Namun, pada 21 Jun tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan berkenaan tetapi menukar hukuman mati itu kepada penjara 35 tahun serta 12 sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dipercayai telah diculik dan dikurung di pangsapuri berkenaan untuk menuntut wang tebusan. Mayatnya kemudian ditemukan di dalam sebuah kotak di lokasi berasingan, susulan kenyataan diberikan Muhammad Ramzan kepada polis.

Laporan bedah siasat mendapati Ali Adnan meninggal dunia akibat hentakan tumpul pada bahagian kepala.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan, Mehmood diwakili oleh peguam Ariff Azami dan Azizzul Shariman Mat Yusoff. Muhammad Ramzan pula diwakili Jayananda Rao, Datuk Wira Mohtaruddin Baki dan Kishan Ganesan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Faizal@Amrin Noorhadi mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan