PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) telah bertindak melangkaui kuasanya apabila memansuhkan latihan amali profesional dalam bidang itu atau articled clerkship programme.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Lee Swee Seng, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan LPQB.
Peguam Khoo Guan Huat, yang mewakili LPQB, serta K.Shanmuga bagi pihak firma guaman Fahri, Azzat & Co dan Muhammad Khairul Anwar Khairuddin, telah mengesahkan keputusan itu kepada Bernama.
Mereka turut memaklumkan bahawa mahkamah mengarahkan LPQB membayar RM80,000 sebagai kos.
Program itu, yang dilaksana di bawah peruntukan Akta Profesion Undang-Undang 1976, menyediakan laluan kepada individu untuk menjadi peguam tetapi tidak mengikuti pengajian undang-undang secara sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.
Kes itu bermula pada 2022 apabila Muhammad Khairul Anwar membaca sebuah artikel bertajuk Law Degree Good, Article Clerkship Better yang diterbitkan di laman blog From the Bar Stool.
Sebulan selepas itu, beliau memohon untuk menjalani latihan amali di sebuah firma guaman dan diterima.
Namun, permohonan beliau agar dibenar menyertai program itu telah ditolak oleh LPQB pada 5 Ogos 2022.
Firma guaman berkenaan dan Muhammad Khairul Anwar kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Pada 16 Nov 2023, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan mereka.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada tahun lepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa LPQB telah melangkaui kuasanya apabila memansuhkan program tersebut.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa keputusan itu hanya boleh dibuat oleh Parlimen.
Susulan itu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan LPQB pada tahun 1985 untuk memansuhkan program berkenaan dan keputusannya menolak permohonan Muhammad Khairul Anwar pada 2022.
Sementara itu, Shanmuga memaklumkan Bernama bahawa susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, program tersebut masih boleh dilaksanakan dan anak guamnya kini boleh mengemukakan permohonan baharu kepada LPQB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial