IPOH, 12 Okt (Bernama) -- Pelepasan khas cukai pendapatan individu hingga RM1,000 bagi perbelanjaan fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, dijangka memberikan impak positif terhadap industri pelancongan Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata insentif ini akan memberikan rangsangan besar kepada sektor pelancongan domestik negeri yang kaya dengan produk ekopelancongan, warisan dan budaya.
“Langkah ini bukan sahaja memberikan manfaat terus kepada rakyat melalui pelepasan cukai, malah akan meningkatkan kehadiran pelancong tempatan ke destinasi dalam negeri sekali gus membantu menggerakkan ekonomi setempat, khususnya pengusaha kecil dan sederhana dalam sektor pelancongan,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus mempergiat promosi pelancongan Perak melalui kempen dan promosi yang sedang digerakkan sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Antara tumpuan utama ialah promosi produk pelancongan berasaskan komuniti, aktiviti kebudayaan dan kesenian tempatan, serta pelancongan lestari di kawasan luar bandar.
"Kita akan bekerjasama dengan penggiat industri dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan lebih banyak program kebudayaan, festival dan pakej pelancongan domestik diperkenalkan agar rakyat dapat menikmati pengalaman melancong yang bermakna sambil menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya.
Loh berkata insentif pelepasan cukai ini juga akan memberikan impak positif terhadap usaha memperkukuh industri pelancongan pascapandemik, selain menggalakkan rakyat Malaysia menjadi pelancong di tanah air sendiri.
“Perak mempunyai keunikan sejarah, alam semula jadi, dan budaya yang tiada tandingan. Dengan sokongan dasar fiskal seperti ini, kita yakin sasaran peningkatan pelancong domestik dapat dicapai dan Perak mampu menjadi antara destinasi utama bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Galakan pelancongan domestik ini, katanya dilihat mampu memberikan peluang kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk melancong bersama-sama keluarga, sesuatu yang mungkin sukar dilakukan sebelum ini.
"Langkah ini bukan sahaja menggalakkan perbelanjaan di dalam negara, malah memperkukuh hubungan kekeluargaan dan kesejahteraan sosial rakyat.
"Sebagai tambahan, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pemberian tambahan jangka masa cuti kepada mereka yang memanfaatkan insentif ini, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat merancang percutian dalam negara," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan pelepasan khas cukai pendapatan individu hingga RM1,000 untuk perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan bagi menggalakkan rakyat bercuti di dalam negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan pula diberi potongan cukai atas perbelanjaan layak yang dilakukan terhad hingga RM500,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial